RAKYAT Sabah perlu menolak politik ekstrimis dari Semenanjung dan kekalkan budaya politik bersifat perpaduan yang sedia ada.
Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee berkata, parti politik dari Sabah terutamanya SAPP lebih mementingkan perpaduan kerana melaluinya kemajuan dan kesejahteraan dapat diberikan kepada rakyat.
“Tidak seperti parti-parti politik dari Semenanjung Malaysia, mereka bukan hanya memperkenalkan budaya politik ekstrimis tetapi sangat bongkak serta langsung tidak menghormati rakyat Sabah.
“Parti-parti politik dari Semenanjung ini apabila datang ke negeri ini dengan angkuh ingin merampas hak parti dari Sabah walaupun mereka sebenarnya berada dalam satu gabungan.
“Contohnya ialah apabila Naib Presiden UMNO Datuk Zahid Hamidi ketika merasmikan mesyuarat UMNO Pensiangan baru-baru ini secara terang-terang berkata UMNO akan merampas kerusi Parlimen Pensiangan daripada parti PBRS.
“Ini menunjukkan, pemimpin UMNO dari Semenanjung apabila datang ke Pensiangan langsung tidak menghormati Ahli Parlimen Pensiangan Tan Sri Joseph Kurup yang menjadi tuan rumah.
“Adakah sopan apabila tetamu secara terang-terang berkata mahu merampas hak milik tuan rumah?” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Menuai SAPP peringkat negeri Sabah di sini.
Beliau berkata, rakyat serta para ahli politik Sabah sentiasa mengekalkan perpaduan dan tidak akan sama sekali merosakkannya walaupun ketika berpolitik.
Katanya, rakyat dan para ahli politik Sabah selepas berpolitik pasti akan kembali menjalinkan perpaduan dan ini dapat dilihat ketika meraikan sesuatu perayaan seperti Pesta Menuai atau Hari Raya Puasa atau Tahun Baru Cina.
Teck Lee berkata, rakyat Sabah walaupun berbeza fahaman politik tetapi akan tetap duduk bersama merayakan setiap perayaan yang diraikan di negeri ini.
“Begitu juga para ahli politik di Sabah, saya dijemput dan hadir pada majlis perkahwinan anak Tan Sri Joseph Pairin Kitingan walaupun kami berbeza fahaman politik,”katanya.
Beliau berkata, budaya politik ekstrimis dari Semenanjung perlu ditolak dan rakyat Sabah mesti kekalkan perpaduan yang dinikmati selama ini.
Katanya, rakyat Sabah tidak memerlukan konsep seperti 1Malaysia kerana perpaduan di kalangan rakyat di negeri ini sudah lama terjalin.
Terdahulu, bekas Menteri Kewangan Sabah Datuk Mohd Noor Mansur, berkata perubahan pucuk pimpinan Kerajaan Sabah dapat dilakukan melalui perpaduan rakyat.
“Rakyat Sabah hanya memerlukan pensil untuk menukar kerajaan negeri Sabah daripada Barisan Nasional kepada SAPP pada pilihan raya akan datang,” katanya.
Katanya, rakyat Sabah hanya perlu tingkatkan semangat inginkan perubahan sama seperti yang dilakukan oleh rakyat di negara-negara Timur Tengah.
Beliau berkata, rakyat Sabah tidak perlu senjata seperti yang digunakan rakyat Timur Tengah untuk menukar kerajaan kerana pensil sudah mencukupi untuk melakukannya di negeri ini.
Sementara itu, Timbalan Presiden SAPP Datuk Eric Majimbun berkata, perjuangan SAPP sejak dulu lagi ingin memastikan hasil bumi dari negeri ini dinikmati rakyat Sabah dan bukannya dirampas Kuala Lumpur seperti yang berlaku pada masa ini.
Katanya, keadaan itu boleh dibetulkan semula apabila rakyat Sabah berganding bahu dan melakukan perubahan pucuk pimpinan kerajaan negeri.
Eric selaku Ahli Parlimen Sepanggar berkata, ikatan persefahaman di kalangan rakyat Sabah yang sudah sedia terjalin juga perlu dikekalkan agar keharmonian dapat dikekalkan.
Pengerusi Penganjur Pesta Menuai SAPP peringkat negeri Sabah di sini, Japiril Suhaimin berkata, barisan kepimpinan SAPP yang terdiri daripada pelbagai kaum menunjukkan SAPP bukan sebuah parti perkauman.
Beliau berkata, majlis seperti perayaan Pesta Menuai ini telah diraikan sejak SAPP ditubuhkan pada 1994 samada ketika berada dalam atau di luar kerajaan.
Katanya, perpaduan dikalangan para pemimpin dan penyokong SAPP sekaligus menunjukkan parti SAPP sentiasa mengamalkan sikap toleransi sekaligus diterima rakyat.
No comments:
Post a Comment