RANAU: Lebih 50 penduduk Kundasang berkumpul di hadapan Tugu Peringatan Perang di sini pada Khamis sebagai membantah tindakan pihak pengusaha tugu tersebut yang merobohkan salah satu bahagian dinding struktur bersejarah itu.
Mereka mendakwa tindakan merobohkan dinding tugu itu menghakis nilai sejarah bangunan tertua di Kundasang itu yang menjadi antara daya tarikan pelancongan utama.
Dalam demontrasi aman selama kira-kira 30 minit itu, mereka mendesak pihah pengusaha tugu berkenaan agar membina semula dinding yang telah dirobohkan itu mengikut bentuk asal dengan menggunakan bahan asal yang sama bagi memastikan nilai sejarah bangunan itu terpelihara.
Seorang penduduk, Majid Kotel, 66, berkata, struktur berusia 49 tahun itu merupakan satu-satunya struktur bersejarah yang menjadi kebanggaan masyarakat di Kundasang.
“Tindakan meroboh mana-mana bahagian bangunan itu tidak pernah dilakukan sebelum ini kecuali kerja-kerja kecil pembaikan.
"Pengusaha yang berkenaan tidak patut merobohkan bangunan ini sesuka hati tanpa memaklumkan dan mengambil pandangan daripada penduduk sekitar terlebih dahulu kerana ini melibatkan hak bersama," katanya yang turut memberitahu bahawa beliau tidak melihat sebarang sebab atau kesan tanah runtuh yang menyebabkan dinding tersebut perlu dirobohkan.
Seorang lagi penduduk, Waslie Gilog, 57, berkata struktur itu yang siap sepenuhnya sekitar tahun 1970-an, menggunakan tenaga penduduk kampung untuk mengangkat bahan binaan yang terdiri daripada batu-batu sungai dari Sungai Liwagu dan Sungai Kedamaian.
“Bayangkanlah bagaimana sengsaranya datuk nenek kami bekerja keras semata-mata untuk membina bangunan paling bersejarah itu untuk diwariskan kepada generasi rkan datang tetapi dirobohkan sewenang-wenangnya," jelasnya yang kecewa dengan tindakan pengusaha tugu ini yang menurutnya, merosakkan nilai sejarah bangunan itu.
Sementara itu, Japiril Suhaimin mewakili penduduk meminta kepada pihak yang berkenaan untuk menjelaskan secara terus kepada para penduduk tentang keadaan sebenar dan sebab munasabah tindakan merobohkan dinding tugu tersebut
Menurut Japiril, penduduk berada dalam keadaan sangsi dengan tindakan tersebut dan melahirkan kerisauan jika tidak dipantau akan lebih banyak perubahan yang akan berlaku yang boleh menghakis nilai sejarah di tugu peringatan itu.
Tugu itu dibina pada sekitar tahun 1962 bagi memperingati askar-askar Australia dan British yang ditawan oleh tentera Jepun semasa Perang Dunia kedua.
Oleh Suzana Justin DE
No comments:
Post a Comment