Tuesday, June 21, 2011

PRU 13 Guna Sistem Biometrik?


Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Wilfred Bumburing pada Selasa mengalu-alukan rancangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menggunakan sistem biometrik pada pilihan raya umum akan datang.
 
"Sistem itu baik dan patut digunakan," katanya kepada Bernama di sini.
Bagaimanapun, Bumburing berkata SPR perlu terlebih dahulu membersihkan senarai pemilih daripada mereka yang disyaki sebagai pengundi hantu, terutama di Sabah.

"Ini kerana penggunaan sistem biometrik tidak boleh menjamin keadilan dalam pengundian sebab seseorang pendatang asing tanpa izin mungkin memegang lebih daripada satu MyKad dengan nama yang sama, tapi nombor yang berbeza, yang akan membolehkannya mengundi jika namanya ada dalam senarai pemilih," kata beliau.

Bumburing berkata demikian untuk mengulas kenyataan pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof di Putrajaya semalam bahawa suruhanjaya itu merancang menggunakan sistem biometrik untuk membolehkan urusan pengesahan pengundi pada pilihan raya umum akan datang dilaksanakan secara elektronik.

Abdul Aziz dipetik sebagai berkata bahawa SPR akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dalam penggunaan sistem berkenaan, yang kini digunakan dalam urusan pengesahan pengenalan diri warga asing.

Jabatan Imigresen juga menggunakan sistem itu di semua pusat pemeriksaan keluar masuk ke negara ini untuk mencegah jenayah antarabangsa dan kebanjiran pendatang asing tanpa izin ke Malaysia.

Bumburing berkata sekiranya sistem itu diperkenalkan, ia mestilah merupakan suatu sistem bersepadu yang boleh menjamin terlaksananya prinsip "setiap orang hanya satu undi".

"Semua orang tahu Sabah bergelut dengan masalah pendatang asing tanpa izin sejak sekian lama. Sebab itulah, kita perlu berhati-hati sebelum memperkenalkan sistem biometrik ini," katanya. 

(BERNAMA)

No comments:

Post a Comment